Sunday, March 24, 2013

Teori Perkembangan Robert Havighurst



Implikasi melalui teori tugasan perkembangan Robert Havighurst yang dapat dilaksanakan dalam proses pembelajaran murid-murid adalah guru-guru memerhatikan keupayaan kanak-kanak dan menggolongkan mereka menurut kebolehan masing-masing. Maksudnya di sini, kanak-kanak yang mempunyai tahap perkembangan yang berbeza. Terdapat kanak-kanak yang dapat menyerap dengan cepat input-input yang diberikan oleh guru dan ada juga murid-murid yang lambat menerima. Oleh yang demikian, guru perlulah membahagikan murid-murid kepada beberapa kumpulan mengikut tahap perkembangan masing-masing. Selain itu, guru perlu bijak dalam memilih aktiviti yang sesuai dengan kebolehan dan pengalaman murid-murid tersebut agar P&P yang dilaksanakan berjalan dengan lancar dan menarik minat murid. Sementara itu, pihak sekolah perlu menyediakan kemudahan untuk membentuk kemahiran fizikal murid-murid seperti padang permainan serta peralatan sukan yang lengkap untuk membentuk murid mencapai tahap tugas perkembangan yang digariskan oleh Robert.

Pada peringkat sekolah rendah, murid-murid perlu membina sikap terhadap diri yang sempurna seperti sikap terhadap penjagaan diri yang selamat dan bersih serta perasaan yang normal. Jadi guru perlulah memahami fungsi sosiometri di dalam bilik darjah supaya murid-murid dapat membina sikap kendiri yang positif. Maksudnya, keadaan bilik darjah yang bersih dan ceria akan membangkitkan minat murid untuk terus belajar dan tidak mudah berasa bosan semasa P&P dilaksanakan. Guru juga perlu mempelbagaikan teknik dan kaedah pengajaran serta aktiviti di dalam kelas untuk merangsangkan pemikiran murid dalam mewujudkan iklim bilik darjah yang kondusif dan menarik. Selain itu, keadaan penjagaan diri murid-murid tersebut juga perlu dititikberatkan oleh guru agar suasana pembelajaran di kelas berada dalam keadaan selesa.

Selain itu, kanak-kanak mulai belajar bertolak ansur dengan rakan sebaya semasa berada pada peringkat umur 6 – 12 tahun. Mereka mula membina jalinan persahabatan dalam membentuk kelompok sosial mereka. Kanak-kanak juga dikatakan akan semakin menjauh dari keluarga dan akan semakin rapat bersama rakan sebaya. Implikasi daripada tugas perkembangan adalah guru berperanan penting dalam menerangkan konsep fungsi dan peranan rakan sebaya dalam kehidupan kanak-kanak tersebut. Hal ini adalah bertujuan untuk memastikan kanak-kanak dapat bergaul dengan baik antara rakan sebaya dan memastikan agar rakan yang dipilih itu membawa ke arah kebaikan ataupun kebururukan murid tersebut. Rakan sebaya yang berperangai buruk akan mempengaruhi hidup murid-murid yang lain. Jika guru tidak mencegah dari awal maka murid tersebut akan terpengaruh dengan anasir-anasir negatif yang dibawa oleh rakannya itu.

Tugas perkembangan memastikan supaya kanak-kanak mempunyai kemahiran asas 3M iaitu kemahiran membaca, menulis dan mengira. Implikasinya, guru perlu bersedia dengan banyak ilmu pengetahuan untuk melahirkan suasana kelas yang menyeronokkan. Guru perlu banyak melatih murid dengan kemahiran-kemahiran asas agar murid tersebut cekap dalam semua aspek. Guru perlulah sentiasa memberi motivasi dan galakan kepada murid-murid agar sentiasa memperbaiki kelemahan masing-masing. Kemudahan dan alat bantu mengajar yang lengkap dapat menghasilkan satu pembelajaran yang berkesan selain dari kemahiran guru ketika di dalam kelas.

Guru perlu memberi bimbingan dan nasihat yang baik untuk mencapai tingkah laku murid-murid yang baik. Guru perlu menerapkan nilai-nilai murni dan contoh teladan yang baik semasa proses P&P berjalan. Nilai-nilai murni ini akan mudah diterima oleh kanak-kanak kerana mereka senang dibentuk. Mereka juga mudah mengikut perbuatan yang dilakukan oleh kita. Jadi guru perlulah perperangai baik untuk dijadikan contoh teladan kepada murid-murid. Selain itu guru juga perlulah menyediakan persekitaran pembelajaran yang menarik minat murid agar mereka sentiasa positif dan dapat membezakan perbuatan baik dan buruk.


No comments:

Post a Comment