Tuesday, March 26, 2013

Belajar Melalui Bermain





Belajar melalui bermain adalah satu teknik pengajaran dan pembelajaran yang berkesan kepada kanak-kanak. Melalui teknik ini juga akan mendatangkan keseronokkan dan kepuasan kepada mereka dalam sesuatu pengajaran yang hendak disampaikan. Dengan bermain juga kanak-kanak akan dapat menguasai perkembangan dan kemahiran fizikal dan penguasaan bahasa dari segi perbendaharaan dan peraturan tatabahasa.

Menurut Mak Soon Sang, dalam bukunya Pendekatan dan Strategi Pengajaran, main merupakan satu teknik mengajar yang memberi peluang kepada murid-murid melakukan sesuatu aktiviti secara berpura-pura di dalam keadaan terkawal. Pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah berlandaskan prinsip belajar sambil bermain. Aktiviti bermain adalah kerja kanak-kanak.Menurut Buku Panduan Guru (Pusat Perkembangan Kurikulum), belajar melalui bermain adalah satu pendekatan yang terancang dan berstruktur bagi memberi peluang kepada murid belajar dalam suasana yang bebas dan selamat, menggembirakan dan bermakna

Permainan merupakan saluran yang boleh mengembangkan perkembangan kanak-kanak ke tahap yang optima. Oleh kerana permainan merupakan sesuatu kekuatan dan pengalaman yang penting menjadi asas dalam model pendidikan awal kanak-kanak. Main atau bermain secara amnya boleh didefinisikan sebagai sebarang aktiviti yang memberikan kegembiraan dan kepuasan kepada kanak-kanak tanpa menimbangkan apakah hasil aktiviti itu. Dengan lain perkataan, kanak-kanak bermain bukan kerana ingin akan sesuatu atau mencapai tujuan tertentu.

Bermain dianggap sebagai satu pekerjaan bagi kanak-kanak, tetapi bukanlah pekerjaan yang memerlukan hasil akhiran atau tujuan tertentu. Bermain juga bukanlah satu aktiviti yang dipaksa malah merupakan keinginan semulajadi kanak-kanak (Kraus, 1990). Lazimnya apabila sesuatu tugasan itu dianggap mudah, tugasan tersebut sering dirujuk sebagai mainan kanak-kanak memandangkan tidak wujudnya komplikasi dan merupakan nilai yang paling berharga buat perkembangan kanak-kanak.

Carr, dalam teori nya menyatakan, main adalah penting kepada kanak-kanak kerana main menyediakan peluang kepada kanak-kanak untuk meluahkan pendapat masing-masing (Kraus, 1990). Mengikut Carr, main merupakan pengalaman katartik, memberi peluang kepada kanak-kanak untuk meluahkan emosi yang negatif. Sebagai contoh kanak-kanak yang berusia empat tahun yang baru sahaja mendapat adik baru akan mengalami pengalaman negatif seperti penolakan kasih sayang dan perasaan permusuhan terhadap adik tersebut. Untuk perihal ini, main dikatakan dapat menyuarakan perasaan kecewa tersebut.

Menurut Caplan dan Caplan 1973, main sebagai penentu penting bagi perkembagan kekuatan sahsiah, daya cipta, kestabilan emosi, perkembangan sosial dan intelek di samping dapat memperkembangkan kekuatan fizikal, koordinasi dan ketangkasan seseorang murid. Dari aspek psikoanalisis, mengikut Freud pula, main memberi peluang kepada kanak-kanak untuk memperolehi perasaan dapat mengawal keadaan yang dikatakan dapat membantu kanak-kanak untuk berurusan dengan realiti sebenar (Kraua, 1990).

Almy (1984, Fagen) menyatakan kanak-kanak bermain dengan di arah oleh diri mereka sendiri tanpa mengambilkira tujuan bermain. Semasa bermain, mereka, bebas dari segala peraturan. Melalui permainan, kanak-kanak mendapat tingkah laku yang baru. Kanak-kanak melibatkan diri dalam permainan secara aktif. Apa yang dikemukakan oleh Almy bersesuaian dengan pandangan Rubin, Fein, dan Vendenberg (1983).

Permainan juga dapat memberi pengalaman tentang keadilan, peraturan-peraturan dan kesamaan serta memperkuatkan kebolehan berfikir dalam pelbagai cara. Di antara permainan lazim yang dimainkan dalam bilik darjah teka-teki, teka silang kata, kad-kad nombor, kad-kad bergambar, catur dan sebagainya. Selain itu bermain adalah satu bentuk kesenian kanak-kanak. Ia merupakan saluran untuk melahirkan perasaan dan punca untuk mendapatkan kegembiraan dan keseronokan.


CIRI-CIRI BERMAIN DALAM PRASEKOLAH

Pertama, main adalah motivasi dalaman. Lenyap dengan sendiri, berlaku hanya untuk kepuasan semasa melakukannya. Kedua, ciri-ciri yang berkaitan dengan main mestilah ada kebebasan memilih oleh peserta” . ( Fergus 1995,2).

Mengikut Vygotsky (1967) “Main membantu perkembangan bahasa dan pemikiran. Struktur otak akan membentuk melalui penggunaan simbol dan alat, ia juga membantu dalam pembentukan ini. Main juga memberi kebebasan kepada kanak-kanak untuk meluahkan tekanan dalam menghadapi dunia sebenar. Dalam cara ini kanak-kanak dapat mengawal situasi dan menyesuaikannya dalam dunia sebenar. Mereka dibenarkan untuk memperolehi proses pemikiran yang tinggi melalui bermain”. (Spodek et al. 1987, p. 181).

Jerome Singer (Spodek,1987) menganggap “imaginative play” sebagai usaha kanak-kanak menggunakan kebolehan fizikal dan mental mereka dalam menyusun pengalaman. Beliau juga berpendapat bahawa dalam permainan, kanak-kanak meneroka alam yang boleh menjadikan mereka berkebolehan dalam menghadapi masalah persekitaran dan boleh menjadikan mereka kreatif.

Secara ringkasnya, aktiviti main dapat memberangsangkan perkembangan bahasa. Dalam konteks main bebas, kanak-kanak dapat melatih bahasa yang baru dikuasai, mempelbagaikan perbendaharaan kata serta membenarkan kesalahan dan pembetulan bahasa. Selain itu, aktiviti main yang berlainan sama ada main sosial atau main kognitif juga akan memberangsangkan aspek-aspek perkembangan bahasa yang tertentu.

Dalam dunia pendidikan prasekolah, pendidikan dilaksanakan berdasarkan kurikulum yang digunapakai. Dalam konteks prasekolah di Malaysia, khususnya dari perspektif kurikulum, main atau bermain itu bukanlah main yang bebas tanpa perancangan tetapi main yang mempunyai unsur seperti:

i. main yang terancang
ii. main yang berstruktur
iii. main yang fleksibel
iv. memenuhi keperluan kognitif, psikomotor dan afektif

Untuk itu dalam perancangan dan pelaksanaan bermain sambil belajar, main merupakan perkara penting dalam merealisasikan aktiviti bermain dalam pendidikan prasekolah, khususnya dalam membantu perkembangan kanak-kanak dan ianya tidak akan bermakna tanpa perancangan yang teratur. Antara perancangan adalah pemilihan bahan main samada bahan jenis menumpu atau mencapah. Banyak pendapat yang boleh menjadi panduan kepada penggunaan bahan main. Antara yang telah disebut oleh Hughes (1999) yang menyatakan

Divergent objects may guide children to numerous approaches, leading them to
appreciate the fact that problems may have multiple solutions.

Banyak kebaikan dalam penggunaan bahan mencapah dalam main. Antaranya ialah:
i. mengalakkan imaginasi
ii. memberi peluang kanak-kanak untuk mencipta dan mencuba
iii. menggalakkan kanak-kanak bekerjasama dan hubungan sosial
iv. membina keyakinan diri
v. berorientasikan proses bukan hasil, dan lain-lain kebaikan terutama yang banyak melibatkan jenis bahan seperti bahan kemahiran, bahan motor kasar, bahan manipulatif, bahan binaan, bahan peluahan kendiri dan bahan semulajadi.

Main bukan sahaja dianggap penting dewasa ini malah sejak dari dahulu lagi. Tidak hairan jika dalam abad ke 21, main diambil sebagai salah satu dari kaedah pendekatan dalam proses pengajaran dan pembelajaran kanak-kanak.

JENIS-JENIS MAIN DALAM PENDIDIKAN AWAL
 KANAK-KANAK

i) Permainan ‘solitary’
Kanak-kanak bermain sendirian dan tidak berkaitan dengan orang lain atau secara bebas. Permainan ini dianggap kebudak-budakan dan tidak matang. Tetapi pengkaji percaya, jenis permainan ini boleh dijadikan pengalaman yang matang dan menggembirakan.

ii.) Permainan ‘parallel’
Kanak-kanak bermain secara bebas dan bersendirian tetapi berhampiran dengan kanak-kanak lain. Misalnya,dua orang kanak-kanak mungkin bermain benda yang sama tetapi tidak bermain bersama-sama.

iii) Permainan ‘associative’
Seorang kanak-kanak bersama kanak-kanak lain terlibat dalam aktiviti yang sama tetapi tidak ada kerjasama ataupun menjadikan minat sendiri kepada minat kumpulan. Misalnya, beberapa orang kanak-kanak mahu menjadi emak dan ayah dalam kumpulan tersebut. Guru perlu campur tangan dan memberi cadangan.

iv)Permainan ‘cooperative’
Seorang kanak-kanak bermain bersama kanak-kanak lain. Mereka saling lengkap melengkapi. Ada kerjasama dan tolak ansur. Minat sendiri dapat dijadikan minat kumpulan. Kurang campur tangan guru.



KEPENTINGAN AKTIVITI BERMAIN KEPADA
 KANAK-KANAK

1) Bermain untuk Perkembangan fizikal.

Permainan biasanya melibatkan aktiviti fizikal yang berhubung rapat dengan perkembangan kanak-kanak dari aspek motor kasar dan motor halus serta kesedaran tentang badan mereka. Kanak-kanak berasa seronok dan gembira sewaktu aktif menggunakan bahagian-bahagian anggota badan mereka untuk bersenam. Ini membolehkan kanak-kanak meningkatkan kemahiran yang membolehkan mereka berasa lebih selamat, lebih yakin, dan boleh berdikari. Dalam masyarakat di mana kanak-kanak menghadapi tekanan, keyakinan dan sikap bersaing untuk berjaya dalam segala bidang amat diperlukan (Berk, 1995; Fromberg, 2002; Holmes & Geiger, 2002; Mccune& Zanes,2001: Murata & Maeda, 2002; Santrock, 2003).

2) Bermain untuk Perkembangan Sosial dan Emosi

Dalam kehidupan sosial kanak-kanak, bermain adalah pencetus kepada pembentukan perkembangan serta kemahiran sosial dan emosi kanak. Sebagai contoh kanak-kanak dari pelbagai umur perlu bersosialisasi, sebagai peyumbang dalam kebudayaan masing-masing. Kajian (Rubin & Howe 1986; Creasey, Jarvis, & Berk, 1998) menunjukkan bahawa bermain dengan individu lain memberi peluang kepada kanak-kanak untuk menyesuaikan perlakuan mereka dengan orang lain dan memberikan pendapat mereka sendiri. Main dikatakan dapat memberi kanak-kanak pengalaman yang kaya untuk meningkatkan kemahiran bersosial, mempunyai sensitiviti nilai dan keperluan orang lain, mengawal emosi, belajar mengawal diri sendiri dan juga boleh berkongsi kuasa.

3) Bermain untuk Perkembangan Kognitif

Kajian telah menunjukkan perhubungan yang positif antara main dan pembelajaran kanak-kanak ( Kumar & Harizuka,1998: Lieberman, 1977) Mereka telah mengenalpasti kemajuan dalam penumpuan, kemahiran kesediaan, dan sikap ( McCune & Zanes, 2001: Smilansky & Shefatya, 1990); kreativiri dan pemikiran divergent (Dansky, 1980 ; Holmes & Geiger, 2002); pengambilan perspektif (perspective-taking) ( Burns & Brainerd,1979); memori ( Jensen, 1999, 2000; Gardner,1993). Jelas menunjukkan bahawa proses pembelajaran yang melibatkan operasi mental mengikut teori pembelajaran kognitif seperti Gagne, Ausubel dan Bruner ada kepentingannya di dalam aktiviti bermain.

Terdapat banyak lagi kepentingan main contohnya dalam perkembangan bahasa. Apapun jika main setakat untuk digunakan sebagai alat bermain dan bukan alat pembelajaran tidak akan meninggalkan kesan positif dalam proses pengajaran dan pembelajaran kanak-kanak. Guru harus memainkan peranan yang penting dalam memberi panduan yang sepatutnya agar melalui bermain boleh menghasilkan pembelajaran optima kepada kanak-kanak.

Sunday, March 24, 2013

Teori Kecerdasan Howard Gardner



Howard Gardner seorang ahli psikologi perkembangan yang terkenal mendapat pendidikan di Universiti Harvard. Beliau telah menulis banyak buku berkenaan dengan psikologi perkembangan yang mengetengahkan kerja-kerjanya dalam bidang perkembangan kreativiti di kalangan kanak-kanak dan orang dewasa. Gardner juga sangat dikenali melalui hubungannya dengan kerja-kerja yang berkaitan dengan perkembangan artistik. Minatnya dalam kreativiti bermula pada awal tahun 1970-an semasa beliau mengkaji perhubungan seni dan perkembangan manusia. Bukunya Artful Scribbles yang dihasilkan dalam tahun 1980 mengkaji kehebatan kreativiti di kalangan kanak-kanak dan kreativiti ini berkurangan apabila kanak-kanak itu menjadi semakin matang. Gardner membuat kesimpulan bahawa pada peringkat akhir permulaan kanak-kanak tersebut, mereka lebih memberi perhatian kepada kemahiran linguistik mereka yang kian berkembang dan tidak lagi berminat untuk berkomunikasi dalam bentuk nonverbal seperti melukis.

Sebagai seorang ahli psikologi pendidikan, Gardner adalah lebih dikenali melalui sumbangannya dalam bidang perkembangan intelektual dengan teorinya yang diberi nama Kecerdasan Pelbagai (Multiple Intelligence). Penyelidikan Gardner berkisar di sekitar kemahuannya untuk melepaskan diri daripada ujian-ujian dan kolerasi antara ujian-ujian dan memandang di sebalik sumber informasi semulajadi tentang bagaimana manusia di dunia memperkembangkan kemahiran-kemahiran yang penting untuk kehidupan mereka.




Teori ini diperkenalkan oleh Howard Gardner (1983) yang menjelaskan bahawa kecerdasan adalah kebolehan untuk menyelesaikan masalah ataupun mencipta produk yang dihargai oleh sesuatu budaya. Sehingga kini, beliau mengenal pasti sembilan jenis kecerdasan (Gardner dalam McKenzie, 1996), iaitu:

1. Kecerdasan linguistik
2. Kecerdasan logikal
3. Kecerdasan muzikal
4. Kecerdasan bodily kinesthetic
5. Kecerdasan interpersonal
6. Kecerdasan intrapersonal
7. Kecerdasal visual/spatial
8. Kecerdasan naturalist
9. Kecerdasan existentialist


1. Anggota badan /kinetik(Bodily/Kinesthetic)

Berkebolehan mengawal pergerakan tubuh dan mempunyai kemahiran memegang objek. Individu ini mengambarkan diri mereka melalui pergerakan. Mempunyai daya imbangan yang baik dan koordinasi mata dan tangan yang baik. (misalnya bermain bola, imbang diri atas palang) Berkebolehan salah satu anggota badan untuk menyelesaikan masalah, mencipta sesuatu. Melalui interaksi dengan rauang persekitaran, mereka mampu untuk mengingat dan memproses maklumat.Kemahiran individu ini termasuk menari, koordinasi fizikal, sukan, menggunakan bahasa tubuh, kraf, berlakon, menggunakan tangan untuk mencipta, membina dan menunjukkan emosi melalui tubuh.

2. Interpersonal

Kebolehan untuk menghubungkait dan memahami orang lain. Individu yang bersifat 'interpersonal' melihat sesuatu perkara dari sudut pandangan orang lain. Tujuannya adalah untuk memahami perasaan dan fikiran orang lain. Individu ini bijak menjiwai perasaan, ingatan dan motivasi. Menggalakkan kerjasama dan mengekalkan kesejahteraan. Menggunakan bahasa secara lisan dan tidak lisan iaitu bercakap, hubungan mata (eye contact) danbahasa tubuh (body language) untuk memulakan saluran komunikasi dengan orang lain

3. Intrapersonal

Kebolehan untuk refleksi diri sendiri dan sedar akan sifat dalaman diri. Individu ini cuba untuk memahami perasaan dalaman, impian, perhubungan dengan orang lain, kelemahan dan kekuatan yang ada. Kemahiran yang ada ialah mengenalpasti kelemahan dan kekuatan sendiri, menganalisis diri sendiri dan menilai cara berfikir.

4. Logical/Mathematical

Berkebolehan memanipulasi nombor, menggunakan sebab akibat, menentukan jawapan secara logikal, konsep berfikir dalam bentuk logikal dan nombor. Ada perasaan ingin tahu mengenai perkara yang berlaku disekeliling. Individu ini banyak menanyakan soalan dan berminat melakkan eksperimen. Kemahirannya meliputi penyelesaian masalah, mengkategori maklumat, bekerja dengan konsep abstrak untuk mengurai masalah, bekerja dengan bentuk geometri dan melakukan pengiraan matematik yang sukar.

5. Musikal/rentak(Musical/Rhythmic)

Kebolehan untuk berfikir dalam bentuk musikal, mendengar dan mengecam paten, membezakan antara bunyi dan cipta musik. Sensitif dengan bunyi di persekitaran. Kemahiran individu ini ialah menyanyi, bersiul, mengubah musik, mengingati melodi, memahami struktur dan rentak musik.

6. Verbal/Linguistic

Kebolehan menggunakan bahasa dengan efektif sama ada secara lisan dan bertulis. Individu ini mempunyai kemahiran mendengar dan berfikir dalam bentuk perkataan. Kemahirannya meliputi mendenganra, bercakap, menulis, bercerita, menerangkan, mengingat maklumat, memahami perkataan

7. Visual/Spatial

Kebolehan untuk berfikir secara gambaran, imej, bentuk dan paten(corak). Kebolehan untuk membentuk model secara visual dan mengaplikasi model itu kepada dunia fizikal. Individu ini gemar melihat peta, carta, gambar, video dan filem. Kebolehan individu ini ternasuk membaca, menulis, memahami carta dan graf. melakar, melukis dan menterjemah imej secara visual.






Teori Perkembangan Sosio-Emosi Sigmund Freud






Menurut Freud, apa yang berlaku pada zaman kanak-kanak akan mempengaruhi perkembangan pada peringkat berikutnya. Pengalaman yang berkait rapat dengan trauma dan konflik pada peringkat awal kanak-kanak akan memberikan kesan jangka masa panjang. Freud berpendapat bahawa perkembangan emosi manusia adalah berkait rapat dengan perkembangan fizikalnya. Menurut kajiannya, perkembangan emosi setiap individu boleh dibahgikan kepada 5 peringkat.


Peringkat oral ( 0-1 tahun)
Peringkat oral bermula dari kanak-kanak 0 hingga 1 tahun.

Ciri-ciri:
Memperoleh kepuasan dari belajar menghisap, menggigit dan menelan selepas umur 8 bulan.
Personaliti terbentuk daripada pengalamannya.
Kanak-kanak yang tidak mendapat kepuasan menggigit dan menghisap akan membentuk personaliti yang agresif dan suka mengejek orang lain apabila besar.

Peringkat anal (1–3 tahun)
Peringkat anal bermula dari kanak-kanak 1 hingga 3 tahun.

Ciri-ciri:
Memperoleh kepuasan daripada aktivti membuang najis
Kanak-kanak akan belajar cara-cara menawal pembuangan air besar dan kecil bertujuan untuk mendapat perhatian.
Sifat bersih, kemas dan berjimat akan dapat dipupuk pada peringkat ini jika mereka dididik dengan cara yang sesuai.
Kanak-kanak ini akan membantuk personality jenis pemarah jika diberi latihan tandas yang tegas.

Peringkat falik ( 3-6 tahun)
Peringkat anal bermula dari kanak-kanak 3 hingga 6 tahun.

Ciri-ciri
Kanak-kanak sudah mengenali jantina mereka sendiri
Keadaan ini dpat dilihat mereka memegang kawasan kemaluan mereka sendiri.
Pada kanak-kanak perempuan, keadaan ini dinamakan elektra kompleks. Kanak-kanak perempuan akan tertarik kepada ibu bapanya dan cuba meniru gaya gaya ibunya untuk mendapat perhatian ayahnya.
Kanak-kanak lelaki akan mengalami keadaan oedipus kompleks iaitu lebih tertarik kepada ibunya. Kanak-kanak lelaki ini akan cuba meniru gaya bapanya untuk menarik perhatian ibunya.
Pada peringkat ini, kanak-kanak sudah mula pandai membela diri dalam mengatasi maslah penyelesaian.

Peringkat latensi (6-11 tahun)
Peringkat latensi bermula dari kanak-kanak 6 hingga 11 tahun.

Ciri-ciri
Peringkat ini dikenali dengan nama peringkat pendaman.
Keinginan seksual kanak-kanak terpendam untuk sementara waktu.
Kanak-kanak mula memasuki alam persekolahan dan mula sibuk dengan aktiviti persekolahan

Peringkat genital ( 12 tahun ke atas)
Peringkat genital bermula dari kanak-kanak 12 tahun ke atas.

Ciri-ciri
Pada peringkat ini, kanak-kanak memasuki alam remaja.
Mereka mula menunjukkan minat rakan sebaya yang berlainan jantina.
Mereka mula memikirkan isu seperti “dating”, perkahwinan serta tentng kerjaya dan keluarga.


Teori Perkembangan Robert Havighurst



Implikasi melalui teori tugasan perkembangan Robert Havighurst yang dapat dilaksanakan dalam proses pembelajaran murid-murid adalah guru-guru memerhatikan keupayaan kanak-kanak dan menggolongkan mereka menurut kebolehan masing-masing. Maksudnya di sini, kanak-kanak yang mempunyai tahap perkembangan yang berbeza. Terdapat kanak-kanak yang dapat menyerap dengan cepat input-input yang diberikan oleh guru dan ada juga murid-murid yang lambat menerima. Oleh yang demikian, guru perlulah membahagikan murid-murid kepada beberapa kumpulan mengikut tahap perkembangan masing-masing. Selain itu, guru perlu bijak dalam memilih aktiviti yang sesuai dengan kebolehan dan pengalaman murid-murid tersebut agar P&P yang dilaksanakan berjalan dengan lancar dan menarik minat murid. Sementara itu, pihak sekolah perlu menyediakan kemudahan untuk membentuk kemahiran fizikal murid-murid seperti padang permainan serta peralatan sukan yang lengkap untuk membentuk murid mencapai tahap tugas perkembangan yang digariskan oleh Robert.

Pada peringkat sekolah rendah, murid-murid perlu membina sikap terhadap diri yang sempurna seperti sikap terhadap penjagaan diri yang selamat dan bersih serta perasaan yang normal. Jadi guru perlulah memahami fungsi sosiometri di dalam bilik darjah supaya murid-murid dapat membina sikap kendiri yang positif. Maksudnya, keadaan bilik darjah yang bersih dan ceria akan membangkitkan minat murid untuk terus belajar dan tidak mudah berasa bosan semasa P&P dilaksanakan. Guru juga perlu mempelbagaikan teknik dan kaedah pengajaran serta aktiviti di dalam kelas untuk merangsangkan pemikiran murid dalam mewujudkan iklim bilik darjah yang kondusif dan menarik. Selain itu, keadaan penjagaan diri murid-murid tersebut juga perlu dititikberatkan oleh guru agar suasana pembelajaran di kelas berada dalam keadaan selesa.

Selain itu, kanak-kanak mulai belajar bertolak ansur dengan rakan sebaya semasa berada pada peringkat umur 6 – 12 tahun. Mereka mula membina jalinan persahabatan dalam membentuk kelompok sosial mereka. Kanak-kanak juga dikatakan akan semakin menjauh dari keluarga dan akan semakin rapat bersama rakan sebaya. Implikasi daripada tugas perkembangan adalah guru berperanan penting dalam menerangkan konsep fungsi dan peranan rakan sebaya dalam kehidupan kanak-kanak tersebut. Hal ini adalah bertujuan untuk memastikan kanak-kanak dapat bergaul dengan baik antara rakan sebaya dan memastikan agar rakan yang dipilih itu membawa ke arah kebaikan ataupun kebururukan murid tersebut. Rakan sebaya yang berperangai buruk akan mempengaruhi hidup murid-murid yang lain. Jika guru tidak mencegah dari awal maka murid tersebut akan terpengaruh dengan anasir-anasir negatif yang dibawa oleh rakannya itu.

Tugas perkembangan memastikan supaya kanak-kanak mempunyai kemahiran asas 3M iaitu kemahiran membaca, menulis dan mengira. Implikasinya, guru perlu bersedia dengan banyak ilmu pengetahuan untuk melahirkan suasana kelas yang menyeronokkan. Guru perlu banyak melatih murid dengan kemahiran-kemahiran asas agar murid tersebut cekap dalam semua aspek. Guru perlulah sentiasa memberi motivasi dan galakan kepada murid-murid agar sentiasa memperbaiki kelemahan masing-masing. Kemudahan dan alat bantu mengajar yang lengkap dapat menghasilkan satu pembelajaran yang berkesan selain dari kemahiran guru ketika di dalam kelas.

Guru perlu memberi bimbingan dan nasihat yang baik untuk mencapai tingkah laku murid-murid yang baik. Guru perlu menerapkan nilai-nilai murni dan contoh teladan yang baik semasa proses P&P berjalan. Nilai-nilai murni ini akan mudah diterima oleh kanak-kanak kerana mereka senang dibentuk. Mereka juga mudah mengikut perbuatan yang dilakukan oleh kita. Jadi guru perlulah perperangai baik untuk dijadikan contoh teladan kepada murid-murid. Selain itu guru juga perlulah menyediakan persekitaran pembelajaran yang menarik minat murid agar mereka sentiasa positif dan dapat membezakan perbuatan baik dan buruk.


Sunday, March 17, 2013

Teori Perkembangan Arnold Gesell




Arnold Gesell telah mengemukakan satu teori berupa teori kematangan biologi yang mengatakan tingkah laku individu berkembang mengikut jadual masa yang tetap. Ini Bermaksud apabila sudah sampai masa perkembangan manusia itu pasti berlaku. Bagi beliau kematangan merupakan faktor yang utama dan menentukan proses pembelajaran. Perkembangan bagi kelakuan, pertumbuhan tisu  dan organ serta fungsi-fungsi lain berkembang mengikut pola dan urutan yang terkawal. Oleh yang demikian , perlakuan kanak-kanak boleh diramalkan. Oleh kerana beliau mempercayai kematangan menjadi faktor utama dalam proses pembelajaran. Ini bererti beliau mementingkan baka sebagai penggerak utama terhadap perkembangan kanak-kanak .

Faktor-faktor persekitaran dan kebudayaan hanya bertindak sebagai pengaruh sekunder yang dapat mengubahsuai kemajuan perkembangan.   Beliau menghormati hak dan individualiti kanak-kanak dan mempercayai kanak-kanak bebas untuk mendapatkan pendidikan. Kanak-kanak harus dibenarkan berkembang mengikut kadar perkembangan sendiri, kanak-kanak tidak perlu dipaksa untuk mencapai suatu peringkat perkembangan . Personaliti, kadar pertumbuhan minat dan kebolehan adalah aspek-aspek yang dimiliki oleh individu. Oleh itu wujud kadar pertumbuhan yang berlainan yang berlaku pada masa yang berlainan. Oleh itu perbezaan individu sering berlaku sangat penting dan harus diketahui di semua peringkat.

Beliau membahagikan perkembangan kanak-kanak kepada lima peringkat seperti di bawah:

i.                 Peringkat Pertama ( 0 – 1 tahun )

Semasa berumur sebulan bayi boleh menghasilkan tangisan berlainan untuk membezakan tangisan lapar dan tangisan yang inginkan belaian ibu. Semasa berusia 4 bulan , bayi melalui peringkat awal perkembangan emosi seperti ketawa apabila gembira  sementara di usia 8 bulan, perkembangan psikomotor bayi telah meningkat  di mana bayi boleh menggenggam objek yang diberikan kepadanya. Bagi bayi berusia 1 tahun pula telah boleh berdiri.

ii.                Peringkat Kedua ( 1- 2 tahun )

Kanak-kanak mulai berjalan berjalan , bercakap dan memahami makna “jangan”.  Pada akhir peringkat ini boleh berjalan dan berlari serta mula bercakap tetapi masih pelat.

iii.              Peringkat Ketiga ( 2 – 3 tahun )

Kanak-kanak mula makan bersendirian dan bercakap menggunakan ayat yang mudah.


iv.              Peringkat Keempat ( 3 – 4 tahun )

Kanak-kanak boleh  menunggang basikal roda tiga dan dapat menerima arahan mudah ibu bapa.

v.               Peringkat kelima ( 4 – 6 tahun )
Kanak-kanak mula bersosialisasi dan berupaya mengemukakan soalan berperingkat-peringkat.Kanak-kanak sudah boleh membezakan di antara yang betul dan yang salah serta sedia mendengar pendapat orang lain.

Teori Perkembangan Jean Piaget





Piaget merupakan seorang ahli biologi yang cukup terlatih. Beliau berasal dari Switzerland dan telah menggunakan model biologi untuk menghuraikan perkembangan kognitif manusia. Pada pandangan Piaget, minda boleh berkembang, berubah dan dapat mengadaptasi masalah yang berlaku apabila berinteraksi dengan persekitaran. Piaget dan ahli psikologi kognitif sering kala dikenal sebagai ahli struktur disebabkan mereka mementingkan struktur pemikiran manusia (Gardner, 1973).


4 KONSEP UTAMA TEORI KOGNITIF PIAGET

· Skema (Schema)
· Penyerapan (Assimilation)
· Pengubahsuaian (Accomodation) dan
· Keseimbangan (Equilibrium)

4 PERINGKAT PERKEMBANGAN KOGNITIF PIAGET

1. Peringkat deria motor/ sensori motor (0-2 tahun)

- Penggunaan deria dan pergerakan fizikal sebagai sarana perkembangan kognitif berkaitan persekitarannya;
- Pengekalan objek (gambaran objek di dalam memori);
- Permulaan pemikiran logik dengan aktiviti yang bertujuan serta pengulangan proses ke bentuk asal

2. Peringkat Pra Operasi (2-7 tahun)

- Penggunaan minda sebagai medium pembentukan skema baharu (perancangan);
- Perwakilan sesuatu objek menerusi simbol (fungsi semiotik);
- Kemahiran berbahasa kian meluas;
- Tidak mampu menguasai proses transformasi, keterbalikan dan penaakulan;
- Sikap egosentrik (pemahaman persekitaran bersumberkan perspektif sendiri).


3. Peringkat Operasi Konkrit (7-12 tahun)

- Pemikiran secara logik dan masih terikat dengan situasi konkrit;
- Berkebolehan menguasai konsep pemuliharaan (conservation) yang terdiri daripada tiga prinsip asas, iaitu; prinsip identiti, prinsip ganti rugi (compensation) dan prinsip keterbalikan;
- Penguasaan proses pengelasan berdasarkan trait;
- Penguasaan proses penyusunan secara bersiri;


4. Peringkat Operasi Formal (selepas 12 tahun)

- Pemikiran abstrak;
- Pemikiran sistematik;
- Kebolehan berhipotesis;
- Egosentrik remaja (susah menerima pendapat orang lain dan merasa sentiasa diperhatikan sekeliling).









TEORI PERKEMBANGAN ERIK ERIKSON





Erik Erikson (1902-1994) telah menganalisis perkembangan sosial kanak-kanak dalam jangka masa kehidupan mereka. Beliau menjelaskan bahawa manusia mempunyai keperluan asas yang sama dan perkembangan mereka bergantung kepada tindak balas terhadap keperluan tersebut. Perkembangan kanak-kanak berlaku mengikut tahap tertentu. Erikson percaya bahawa setiap tahap mempunyai konflik tertentu yang perlu diatasi supaya tidak menjejaskan perkembangan kanak-kanak. 

Teori Erik Erikson dikenali sebagai Teori Perkembangan Psikososial Erikson kerana ia mengabungkan tiga faktor yang mempengaruhi perkembangan individu, iaitu faktor kendiri, emosi dan sosial. Teori Erikson adalah berdasarkan lima prinsip iaitu:

i. Manusia mempunyai keperluan asas yang sama
ii. Perkembangan individu bergantung kepada tindak balas terhadap keperluan-keperluan asas
iii. Perkembangan manusia mengikut tahap-tahap tertentu
iv. Setiap tahap mempunyai konflik dan ia mesti diatasi sebelum individu dapat berfungsi dengan jayanya 
      pada tahap berikutnya .
v. Kegagalan mengatasi konflik pada suatu tahap akan menjejaskan perkembangan tahap yang berikut


Terdapat beberapa peringkat  perkembangan emosi Erikson:-

1. Kepercayaan Lawan ketidakpercayaan (0 -18 bln)
2. Autonomi lawan malu/kekeliruan (18 bln – 3 thn ) 
3. Inisiatif lawan Bersalah (3-6 thn) 
4. Ketekunan lawan rasa rendah diri 6-12 tahun
5. Identiti lawan kekeliruan identiti 12-18 tahun
6. Kerapatan lawan pengasingan 18-35 tahun
7. Generativiti lawan pemusatan kendiri (stagnasi) 35-60 tahun
8. Kesepaduan lawan putus asa 60 tahun – akhir hayat